Saturday, 28 May 2011

Hebatnya Seorang Ibu


KASIH IBU MEMBAWA KE SYUAGA,
KASIH AYAH MEMBAWA BAHAGIA..


ibu, emak, iluvislam.com
'Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak.
Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh saya dedikasikan buat ibu saya. Malah hemat saya juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu?
Dulu, Kisah sebuah memori
Masih tersemat utuh dalam ingatan saya betapa ibu saya cukup mudah mengalirkan air mata. Semasa saya atau adik saya dirotan ayah, ibulah selalunya akan membela dengan aliran air mata. Semasa kakak saya yang sulung melangkahkan kaki meninggalkan rumah mengikut suami selepas majlis akad dilangsungkan, ibu saya menghantar pemergiannya dengan linangan air mata. Masa itu saya cukup pelik kenapa ibu saya menangis sedangkan kakak saya pergi secara terhormat mengikut suami. Masa itu saya buntu tidak berjawapan.
Suri rumah sepenuh masa menjadikan anak-anak amat rapat dengan ibu. Masih terbayang di minda saya hingga kini betapa kalutnya ibu saya setiap pagi menyediakan sarapan sebelum saya dan adik-adik ke sekolah. Sememangnya saya antara anak yang cukup susah untuk makan pagi sekalipun dengan hanya minum teh dan apa yang pasti ibu saya akan membawa minuman hingga ke pintu luar dan akan pastikan saya mengambil sarapan walaupun dengan hanya seteguk air.
Masih terngiang kata-kata ibu bila saya mula berdegil tidak mahu bersarapan, "Minum lah sikit baru cergas dalam kelas" atau kadang-kadang ibu juga mengugut jika saya tetap berdegail, "Tak baik tu, minum sikit nanti tak berkat belajar". Mungkin kerana takut dengan ugutan, saya selalunya akan memaksa diri minum juga walau seteguk.
Tabiat saya yang jarang bersarapan melekat hingga kini kerana tiada siapa lagi yang boleh memaksa saya bersarapan. Tapi yang agak melucukan apabila ibu saya selalu berpesan dicorong-corong telefon setiap kali saya saya menelefon rumah atau melalui SMS dengan 3 perkara; kerapkan mandi, ambil sarapan dan banyakkan minum air. Tapi biasalah saya memang degil...
Kisah ibu saya yang murah air mata terhadap anak-anak saya panjangkan dengan kisah kakak sulung saya. Ketika abang ipar saya menyambung pengajian di UKM sejurus sahaja lahir anak sulung menjadikan hidup mereka sekeluarga agak susah. Hidup di Kuala Lumpur menjadikan kesempitan mereka kian parah. Berbekalkan gaji sebagai kerani sekolah kakak saya yang tidak sampai ke angka 1000 dan separuh gaji suami lantaran bercuti menyambung pengajian sepenuh masa sebagai guru menjadikan hidup mereka kian terhimpit.
Hidup menyewa di rumah setinggan yang rata-rata didiami warga Indonesia menjadikan hati saya pilu dan kadang-kadang mata saya juga berkaca. Pernah saya berseloroh pada kakak saya untuk membawa pulang Along (anak sulung kakak saya) ke kampung bila lahirnya anak yang kedua. Reaksi yang saya terima hanyalah linangan air mata tanpa kata. Kakak saya menangis bila ada sahaja cadangan mahu memisahkan dia daripada anak-anak. Tekadnya biarlah susah macam mana sekalipun asalkan anak-anak tetap bersama.
Niat saya semasa memberikakan cadangan untuk membawa pulang anak sulung kakak saya ke kampung dan dipelihara ibu saya lahir daripada rasa kesian yang amat sangat dengan kesempitan yang dialami. Mudah-mudahan kesusahan tersebut dapat dikurangkan.
Pernah suatu ketika semasa melahirkan anak kedua, semasa dalam pantang 40 hari kakak saya ke klinik dengan menaiki bas bersama 2 anak. Anak sulung berumur setahun setengah dipimpin dan anak ke dua yang baru berumur sebulan didukung dengan menaiki bas untuk ke klinik dalam kesesakan kota. Hati mana yang tidak sedih bila mendengar khabar susah kakak sebegitu. Tidak mampu saya bayangkan betapa susahnya hidup mereka anak-beranak.
Namun semuanya diceritakan selepas abang ipar saya tamat pengajian dan sekarang sudahpun menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan sedang menyiapkan tesis PhD dalam bidang Psikologi Dan Pendidikan Khas Kanak-Kanak Istimewa. Sesungguhnya perlu saya iyakan, disebalik kehebatan seorang lelaki rupanya ada jasa insan tabah yang bernama isteri.
Kini, Kisah Sebuah Realiti
Pandangan saya bahawa ibu saya hanya mampu menangis bila berpisah dengan anak-anak rupanya meleset. Dalam Majlis Konvokesyen apabila saya naik ke pentas untuk berucap mewakili pelajar ibu saya langsung tidak menangis. Semasa di lapangan terbang ketika menghantar saya ke Mesir, ibu saya juga tidak menangis. Masih saya ingat senyuman dan pelukkan terakhir tersebut langsung tidak menunjukkan reaksi sedih malah ibu saya nampak tenang dan gembira. Apa yang terbaliknya saya pula yang sebak dan mata saya sedikit berkaca sebagaimana ayah saya juga.
Lama saya berfikir kenapa ibu saya mula bertegas dan tidak menangis ketika menghantar saya di Airport. Seminggu selepas itu saya menelefon ibu saya dan saya straight bertanya kenapa demikian jadinya. Ibu saya bercerita bahawa 3 tahun beliau bersedia dengan perpisahan ini sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke KIAS, Nilam puri dan bertegas untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Katanya lagi, kini tiada apa lagi yang mahu disedihkan kerana hasratnya untuk melihat saya menjadi seorang berilmu kian hampir.
Ibu saya tidak menaruh harapan yang terlampau tinggi terhadap saya dan adik-beradik lelaki yang lain. Katanya beliau sudah puas hati sekiranya anak-anak berilmu, mampu menjadi imam di masjid dan mampu berkongsi ilmu dengan orang kampung. Pada saya tanggungjawab itu susah dan harapan itu tinggi.

Berbohong dan Menghampiri Zina


Rasulullah S.A.W telah melarang lelaki dan wanita yang bukan mahram (dihalalkan nikah antara keduanya) daripada berkhalwat (berdua-duaan di tempat yang boleh dikategorikan sebagai terhindar daripada halangan untuk melakukan maksiat yang berlaku antara lelaki dan wanita). Larangan yang dikemukakan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadithnya ini yang menggunakan lafaz nahi (tegahan) membawa maksud pengharaman perbuatan berdua-duaan yang dimaksudkan tersebut. Berikut merupakan hadith-hadith yang menggambarkan pengharaman tersebut:
1.Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bermaksud: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat makan janganlah berkhalwat dengan wanita yang tidak ditemani oleh muhramnya (lelaki yang haram dinikahinya).
2.Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari: Janganlah sesiapa dikalangan kamu (lelaki) berkhalwat dengan wanita yang bukan muhram antara keduanya melainkan sekiranya wanita tersebut ditemani oleh mahramnya.
وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zinaitu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 32)
Arahan untuk tidak membenarkan lelaki dan wanita daripada berdua-duaan dalam erti kata khalwat di atas bukanlah kerana buruk sangka terhadap kedua-dua mereka tetapi ia bertujuan untuk memelihara mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang termasuk dalam larangan-larangan Allah yang lebih berat seperti bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan malahan sehingga ke peringkat zina.
Ini adalah disebabkan ketika mereka berdua-duaan, syaitan akan menjadi orang tengah yang bertanggungjawab untuk membisikkan tindakan-tindakan maksiat seterusnya yang perlu dilakukan oleh mereka berdua sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadithnya yang bermaksud: Jauhilah kamu daripada berkhalwat dengan wanita (yang bukan muhram kamu). Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya, tidaklah seseorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan syaitan akan mendatangi mereka berdua. Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya: “Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Wanita adalah dilarang berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana berkhalwat tidak semestinya berlaku di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat dan sebagainya. Perlu diingat syaitan merupakan makhluk yang bijak (menghasut). Selagi ada kesempatan yang terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan yang terkutuk.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.
Apabila kamu berdua-duaan, kamu telah melanggari Perjanjian dengan Allah Swt. Apabila ditanya oleh ibubapamu, kamu berpotensi untuk berbohong.

Melakar Cinta Allah Melalui Sahabat



alt
"Kau tahu apa itu makna uhibbuki fillah?" tanya seorang sahabat kepada saya.
"Mencintaimu kerana Allah," Ringkas jawapan saya.
Kelihatan tidak senang duduk sahabat dengan jawapan saya. Riak muka tidak puas hati lagaknya.
"Memanglah, itu direct translate. Tak semua orang faham erti itu sebenarnya. Cuma mengungkap tetapi tidak sampai jauh ke dasar hati, kerana itu setiap perkara yang dilakukan pasti ada kurangnya, hingga kadang-kadang boleh menjadi cemburu dalam berukhwah. Manusia sebegini masih keliru sebenarnya," luah sahabat dengan air muka penuh kekesalan.
Terhenti seketika kerja yang saya sedang lakukan. Berfikir tentang kata-kata sahabat sebentar tadi.
"Cemburu dalam berukhwah? Saya setuju, bahkan ada yang masih tidak mampu mentafsir ertiuhibuki fillah itu sendiri. Keliru itu benar. Realitinya kerana fitrah berkasih yang terlampau. Rasa menyayangi yang terlampau hingga ada istilah 'dia milik aku' sahaja. Astaghfirullahal azzim, mohon dijauhkan perasaan sebegini," memandang sahabat dengan penuh pengertian.
Benar, ini kisah realiti. Sebenarnya ramai yang masih keliru dengan perasaan sendiri. Fitrah manusia memang mahu menyayangi dan disayangi, tetapi berpadalah dalam berkasih dan sayang hingga timbul perasaan ingin memiliki. Mengikut ilmu psikologi, inilah yang dinamakaninnate motive.
Maknanya jangan berkasih sayang lah?
Tidak.. bukan itu yang saya maksudkan. Berkasih sayang itu perlu, tetapi berpada dan kawallah diri. Berukhwah kerana Allah semata-mata. Jadi takkan timbul isu 'dia milik aku'.
Tidak Cemburu
Orang-orang yang beriman tidak akan rasa cemburu apabila sahabat menjalin ukhwah dengan sahabat lain. Isilah hati dan nurani dengan jalan Allah kerana ukhwah ini terjadi atas kehendak Allah. Jika ada timbul rasa cemburu, muhasabah kembali kerana sungguh itu adalah bisikan syaitan yang cuba menghasut dan menggugat ukhwah yang dibina.
Siapa kita untuk memiliki? Tiada apa-apa di dunia ini adalah milik kita. Sahabat? Bukan milik kita. Justeru kenapa mahu cemburu apabila orang lain mendampingi?
Firman Allah s.w.t : "Sesungguhnya mukmin itu bersaudara." (al-Hujuraat: 10)
Dari firman ini telah jelas bahawa semua muslim itu adalah bersaudara. Tiada yang tertinggal. Kita memerlukan antara satu sama lain. Seharusnya kita perlu belajar menyayangi setiap sahabat yang berada di sekeliling kita.
Dalam Islam sudah diajar tentang ithar (melebihkan orang lain) yakni tahap ukhwah yang paling tinggi manakala berlapang dada adalah tahap ukhwah yang paling rendah.
Tapi dalam apa jua keadaan, kita harus sedar tentang makna basitah (kesederhanaan). Bila sudah sayang terlebih, segala benda jadi lain. Justeru itulah kita perlu bersederhana. Kalau mahu sayangi semua, bukan memilih-milih pula.
Nasihat ini jelas untuk saya dan semua yang mempunyai sahabat. Mungkin ini sudah terjadi atau bakal terjadi. Makanya saya mahu mengingatkan dahulu sebelum terkena pada diri sendiri atau yang lain juga.
Uhibbuki fillah, best friend, teman sejati atau apa-apa sahaja akan menjadi retorik semata-mata jika setiap perhubungan itu tidak di dasari dengan iman dan takwa. Usah tertipu dengan mainan perasaan sendiri. Perbetulkan niat kembali jika masih ada cemburu di hati.
Layanan Istimewa Untuk Semua Sahabat
Sayugia saya mahu mengingatkan kalian tentang kisah Rasulullah SAW dalam bersahabat.
Adakah para sahabat yang lain merasa cemburu dengan Abu Bakr apabila Rasulullah SAW mengatakan Abu Bakr adalah teman baiknya. Saidina Umar, Uthman, Ali dan sebagainya tidak cemburu melihat persahabatan itu kerana Rasulullah SAW melayan para sahabat yang lain juga dengan istimewa. Inilah yang perlu kita contohi bersama.
Jika kita mampu untuk memberi hadiah, belanja kawan, sentiasa saling mengingat, membantu dia, bertanya khabar kepada kawan yang seorang; beri layanan istimewa dan memasak untuk kawan seorang, kenapa tidak kepada kawan yang lain kita lakukan sebegitu rupa? Adakah Islam mengajar kita untuk membanding beza darjat?
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling memutuskan hubungan dan janganlah sebagian kamu menyerobot transaksi sebagian yang lain, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, membiarkannnya (tidak memberikan pertolongan kepadanya), mendustainya dan tidak boleh menghinakannya.
Taqwa itu berada di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seorang (muslim) dianggap (melakukan) kejahatan karena melecehkan saudara muslimnya. Setiap muslim atas muslim lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya." (HR. Muslim dan Ibnu Majah)
Jadi, mari kita tajdidkan (memperbetulkan) niat kita dan banyakkan muhasabah. Mungkin selama ini kita berukhwah bukan kerana Allah tetapi atas dasar lain.. peribadi ke, minat yang sama ke, perasaan ingin memiliki ke..
Mari koreksi diri.. mari istighfar berulang-ulang kali..
"Ada tak orang rasa cemburu dengan kita. Mereka rasa takut untuk rapat sebab kita berkawan baik?" tanya sahabat lagi.
"Wallahua'lam, jika ada yang berfikiran sebegitu, mesti ada silap dia dan silap kita juga. Dalam ukhwah ini kita membina ithar tetapi kita perlukan juga basitah," tuntas saya.
Moga ini dapat menjadi renungan untuk para sahabat di luar sana. Sungguh mungkin ini juga bakal terjadi pada saya dan anda, kita tidak tahu. Jadi persiapkan diri dan bermuhasabah kembali.
Marilah kita menjalin ukhwah kerana Allah..
Untuk sahabat-sahabat saya di luar sana.. uhibbuki fillah.. harap ukhwah ini hingga ke jannah hendaknya.
Ya Allah,peliharalah ukhwah kami ini. Moga tiada hasad yang menyelirat jauh di hati yang tersirat..
Di jalan Allah,
Persahabatan ini bukan milikku dan bukan jua milikmu,
Persahabatan ini adalah perancangan daripada Allah yang mengetahui segala rahsia,
Kerana DIA lah aku mengenalimu dan kerana DIA jua telah menetapkan ukhwah itu,
Pasti terukir 1001 kenangan dan kasih sayang,
Semuanya kerana Allah,
Sungguh,
Bukan kerana selain daripada-Nya
..

Petua Untuk Hati ....


alt

Istimewa untuk hati yang sedang bersedih, jiwa yang sedang berduka, minda yang sedang berkecamuk, inilah petua terbaik buat mengubat resah dan gundah:

  • Amalkan tasbih, tahmid dan takbir - Inilah petua yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada anaknya Siti Fatimah.
  • Berdoa - Mohonlah kepadaNya. Ingatlah, doa itu senjata bagi orang mukmin.
  • Sibukan diri dengan sesuatu - Lakukan aktiviti yang boleh melupakan segala kekusutan seperti perbanyakan membaca al-Quran & pelbagai bahan bacaan, terlibat dengan aktiviti usrah, kemasyarakatan dan sebagainya.
  • Luahkan perasaan anda - Bermacam cara boleh digunakan untuk meluahkan perasaan. Carilah seseorang yang paling anda percaya (sebaiknya yang ada pertalian darah atau orang yang arif dalam agama), menulis diari atau catatan harian, menulis blog dan sebagainya.
  • Senyum - Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

Kaedah Belajar.....


alt

Ramai yang masih tidak mengetahui cara untuk belajar dan ini akan menjadi satu masalah kepada mereka untuk menduduki peperiksaan kelak. Di sini saya ingin kongsikan sedikit cara belajar yang pernah saya amalkan.

1) MASA

Sebelum memulakan suatu sesi pembelajaran, pemilihan waktu yang tepat adalah penting untuk memastikan minda kita mampu menerimanya dengan keadaan yang optimum.

Contohnya, kebanyakan pelajar suka mengulang kaji pelajaran mereka pada tengah malam atau seawal pagi kerana pada masa ini keadaan sunyi dan minda kita akan dapat fokus pada apa yang kita belajar. Lebih-lebih lagi mata pelajaran yang melibatkan pengiraan seperti matematik.

2) TEMPAT BELAJAR

Perkara ini haruslah diambil berat kerana apabila keadaan tempat belajar kita kemas dan teratur sudah tentu kita dapat belajar sesuatu perkara itu dengan baik.

Seeloknya tempat yang baik untuk kita belajar ialah di perpustakaan kerana suasana yang sangat kondusif. Ini akan memudahkan proses pembelajaran kita.

Andai di rumah, pastikan tempat tersebut mampu merangsang minat kita untuk mentelaah tanpa terdapat gangguan luar seperti suasana yang bising yang boleh merencatkan proses pembelajaran.

Pastikan meja belajar menghadap ke arah kiblat.

3) NOTA

Setiap kali kita mengulang kaji pelajaran, sebaiknya jangan hanya membaca buku sahaja tetapi adalah lebih baik kita membuat nota ringkas. Ia membantu kita untuk mengingat.

Di samping itu juga, kita boleh membawa nota tersebut ke mana sahaja dan boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja.

Nota yang baik bukan hanya nota yang ringkas, tapi nota tersebut hendaklah mudah untuk difahami.

Salah satu cara terbaik untuk membuat nota adalah dengan menggunakan peta minda (mind map). Cara ini adalah salah satu cara yang sangat berkesan khususnya bagi subjek yang memerlukan pembacaan yang banyak.

Kau suke?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...