" Manfaatkan hari-hari terakhir Ramadan"
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya bulan Ramadan itu bulan yang berganda kerana segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang berganda-ganda.
Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan Ramadan itu juga, nafsu kita berganda.
Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk berbuka, berganda dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan berganda dengan sifat membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri. Dari sifat buruk dan tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti sebenarnya KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100 markah puasanya?
Bulan Ramadan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad saw. yang bakal kita tinggalkan lagi beberapa hari lagi, hanya datang sekali dalam setahun. Tanya diri kita sendiri sahabat, di dalam 30 hari Ramadan itu tidak semuanya benar-benar menghayati Ramadan. Orang awam seperti kita adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi 23 hari Ramadan sahaja.
Kerana pada waktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum Ramadan lagi. Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadan tetapi kita sibuk di gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya.
Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih, biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita.
Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya. Kita sibuk meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan tetapi hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya. Memang secara teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar.
Allah swt. mengharamkan jasad umat-Nya yang gembira dan senang dengan ketibaan Ramadan daripada api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadan. Kerana itu, kalau kita dapat lihat siaran langsung solat di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Bagi mereka, tidak ada bulan lain yang menyamai bulan Ramadan.Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan dukacita meninggalkan Ramadan atau sebaliknya?
Sementara masih ada sisa Ramadan ini, sama-samalah kita cuba mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita menikmati kerberkatan dan hikmah berpuasa dan cuba menghidupkan malam Lailatul Qadar, jika mampu.
Biarlah Ramadan yang cuma sekali dalam setahun itu benar-benar memberi kesan yang keinsafan dan ketakwaan terhadap diri kita.
-Prof. Dr. Omar Yaakob
"Ramadan...Bermulanya Suatu Perubahan"
semoga bermanafaat~
SEKIAN
Assalamualaikum......